Followers

Friday, March 18, 2011

BAKAT PELAJAR FAKULTI MENYINAR DI PESTA PANTUN BESTARI 2011

Oleh : Mohd Aizad bin Osman,

The Mediun, 4th edition

Untuk julung-julung kalinya UiTM Melaka menghantar pasukan ke Pertandingan Pesta Pantun Bestari 2011 yang berlangsung pada 3 hingga 6 Mac yang lalu bertempat di Universiti Malaya

Sebanyak 2 kumpulan seramai 8 orang beserta 4 orang krew dan seorang pegawai pengiring iaitu Penasihat Persatuan Bahasa Melayu sendiri Puan Zuraidah bt Mohd Sulaiman telah menyertai pertandingan ini.

Perjalanan bermula pada petang khamis kira-kira jam 5.30 petang dan telah tiba di Kolej kediaman ke-12 Universiti Malaya kira-kira jam 8.30 malam sebelum terus ke kolej kediaman keempat untuk majlis makan malam dan cabutan undi bersama Ahmad Fedtri Yahaya.

Sewaktu kali pertama melangkah ke dalam dewan makan tersebut, perasaan bercampur baur. Ada yang memandang pelik kepada kami. Almaklumlah, pertama kali menyertai, susah tentu ada yang memandang rendah kepada kami. Keadaan tersebut memberikan tekanan kepada kami sehinggalah hari perlawanan dan menyebabkan kami kalah kepada UIA di saringan pertama.

Namun,kekalahan tersebut terubat apabila kami menang kepada UMS di saringan kedua. Tetapi langit tak selalunya cerah, kami kalah di saringan 3 dan 4 sewaktu bertemu IPG BM dan UNIMAP.

Tekanan semakin dirasai dan daripada kekalahan tersebut kami berjaya bangkit dan memenangi saringan 5, 6 dan 7 menentang UNISZA, UiTM (B) dan UM.

Empat kemenangan tersebut telah berjaya melayakkan kami ke suku akhir. Dan pada waktu pengumanan ke suku akhir itu, sudah terdetik dihati kami yang suku akhir ini sudah cukup untuk kami apabila kami terpaksa bertemu dengan IPG Sultan Abdul Halim diperingkat tersebut yang mana IPG ini hanya kalah sekali sahaja di peringkat saringan berbanding kami. Itu bukan penghalang dan penyebab untuk kami membiarkan kemenangan berpihak kepada mereka. Berbekalkan semangat, usaha dan doa, akhirnya kami berjaya mengalahkan mereka.

Kami sangat terperanjat dengan kemenangan tersebut yang melayakkan kami untuk mara ke peringkat separuh akhir. Di separuh akhir, sekali lagi kami bertemu dengan kumpulan dari UIA. Di separuh akhir ini, format pertandingan bertukar yang mana memerlukan peserta berpantun secara spontan tanpa menggunakan kertas dan pen di peringkat ini. Kehebatan kumpulan dari UIA memang tidak dapat kami tandingi sekali lagi kami tewas kepada mereka.

Kekalahan di peringkat separuh akhir menyebabkan kami terpaksa untuk sekali lagi bertanding di pusingan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 dan sekali lagi kami terpaksa bertemu pasukan dari UNIMAP dan kami sekali lagi tewas kepada mereka.

Walaupun mendapat tempat ke-4, namun kami tetap berbangga kerana ini merupakan pertama kali kami menyertainya, pasukan A yang terdiri daripada Mohd Aizad Bin Osman, Muhammmad Khaidir Adzim Bin Ruslan, Mohd Adzreen Bin Adnan, dan Norliana Syaera Binti Aziz manakala pasukan B pula Ridhwan Nazmi Bin Roslan, Mohd Hafizi Bin Mohd Said, Mohammad Afifi Bin Yahaya, dan Nur Nadia Binti Mohd Jalani yang rata-ratanya daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media yang mana telah menjuarai pesta pantun antara fakulti UiTM Melaka tahun lalu. Pasukan B yang kurang bernasib baik hanya berjaya memenangi 3 perlawanan sahaja di peringkat saringan.

Walaupun kali pertama menyertai pertandingan ini, pencapaian mendapat tempat ke-4 daripada 16 pasukan yang menyertainya sudah boleh kami banggakan kerana ada yang sudah 5 tahun menyertainya dan semua peserta yang lain terdiri dari pelajar sarjana dan sarjana muda berbanding kami yang baru diperingkat diploma. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada En Mustakim bin Mustafa selaku jurulatih yang sanggup melatih kami siang dan malam. Pencapaian ini juga telah membuka mata pasukan lain kepada UiTM Melaka.

Antara institusi pengajian tinggi yang menyertai pertandingan ini selain daripada kami UiTM, ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Malaysia Airlines Academy, dan enam pasukan Institusi Pendidikan Guru (IPG) daripada Kampus Sultan Abdul Halim (Kedah), Kampus Gaya (Sabah), Kampus Bahasa Melayu (Kuala Lumpur), Kampus Dato Razali Ismail (Kuala Terengganu) and Kampus Sultan Mizan (Besut).

Pesta Pantun Bestari 2011 anjuran Jawatankuasa Kerja Pembangunan Kesenian dan Kreatif, Kolej Kediaman Keempat, Universiti Malaya ini yang telah mengangkat tema ‘Pelestarian Pantun Wadah Keagungan Bangsa’ telah disempurnakan penutupan rasminya oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada malam gilang-gemilang iaitu malam pertandingan akhir yang menemukan USM dan UIA yang menobatkan USM sebagai juara Pesta Pantun Bestari 2011 di Dewan Tuanku Censelor Universiti Malaya.